Saturday, 18 March 2017
57.Surah Al-Ĥadīd (Verse 3)
هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Ddalam firman Allah seperti diatas Allah telah memberitahu bahawa Allahlah segala-galanya. Yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin kesemuanya ialah Allah..
Untuk meringkaskannya, yang awal iaitu zat Allah, yang akhir iaitu asma' Allah, yang zahir iaitu afa'al Allah dan yang batin iaitu sifat Allah...
Kalau disusun mengikut susunan ialah kenyataan zat Allah iaiatu Dialah yang Awal, kenyataan sifat Allah Dialah yang batin, kenyataan asma' Allah Dialah yang akhir, kenyataan afa'al Allah Dialah yang zahir...
Firman Allah
34.Surah Saba' (Verse 27)
قُلْ أَرُونِيَ الَّذِينَ أَلْحَقْتُم بِهِ شُرَكَاءَۖ كَلَّاۚ بَلْ هُوَ اللَّهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Katakanlah lagi:
"Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. (Sedang merasakan sifat ketuhanan sebagai sifat diri sendiri dan sebagai sifat makhlok selain dari Allah)
Tidak ada pada sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu,
bahkan yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Lihat, saksikan dan Akuilah segala sifat ketuhanan yang ada pada ruh adalah sifat Allah... Roh itu adalah sifat Allah (dengan melakukan jalan dan cara untuk menetapkan iktiqad tauhid)..
Insan itu rahsia Aku, Aku Rahsia Insan, rahsia itu sifat Aku, sifat Aku bukan lain daripada aku...
Dialah yang awal, Dialah yang akhir, kenyataannya ialah rahsia kepada insan iaitu HUU zat semata-mata.
Dialah yang zahir kenyataannya kepada jasad - Namanya ...
Dialah yang batin kenyataannya kepada Roh - Namanya ....
2.Surah Al-Baqarah (Verse 107)
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِۗ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
16.Surah An-Naĥl (Verse 96)
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُۖ وَمَا عِندَ اللَّهِ بَاقٍۗ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Ini apa yang telah ada didalam pengetahuan setelah seseorang itu membaca firman-firman Allah tersebut.
Ilmu atau pengetahuan yang diketahui belum lagi berpegang dengan pegangan atau iktiqad tauhid (bertuhankan hanya kepada Allah yang maha esa)
Untuk berpegang dengan iktiqad tauhid Allah telah mengajar kita melalui firmannya
17.Surah Al-'Isrā' (Verse 41)
وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ لِيَذَّكَّرُوا وَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا نُفُورًا
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat; dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.
Selagi seseorang itu belum melakukan jalan dan cara untuk menetapkan iktiqad tauhid, dia hanya tahu atau mempunyai ilmu tentang tauhid tetapi belum berpegang dengan pegangan atau beriktiqad tauhid kerana untuk berpegang dengan iktiqad tauhid seseorang itu perlu melakukan salah satu daripada pelbagai jalan dan cara untuk menetapkan iktiqad rauhid yang telah Allah mempejelaskan didalam Al-Quran...
Ini yang perlu kita semua muzakarahkan iaitu bagaimana hendak melakukan jalan dan cara untuk menetapkan iktiqad tauhid sepertimana yang dikehendaki oleh Allah
Firman Allah
76.Surah Al-'Insān (Verse 29)
إِنَّ هَٰذِهِ تَذْكِرَةٌۖ فَمَن شَاءَ اتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِ سَبِيلًا
Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
76.Surah Al-'Insān (Verse 30)
وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
Wednesday, 4 November 2015
H58: TANDA MATINYA HATI
| H58: TANDA MATINYA HATI |
Kita telah dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir walaupun tidak hadhir hati ketika berzikir. Begitu juga dengan ibadat dan amal kebaikan. Janganlah meninggalkan ibadat lantaran hati tidak khusyuk ketika beribadat dan jangan meninggalkan amal kebaikan lantaran hati belum ikhlas dalam melakukannya. Khusyuk dan ikhlas adalah sifat hati yang sempurna. Zikir, ibadat dan amal kebaikan adalah cara-cara untuk membentuk hati agar menjadi sempurna. Hati yang belum mencapai tahap kesempurnaan dikatakan hati itu berpenyakit. Jika penyakit itu dibiarkan, tidak diambil langkah mengubatinya, pada satu masa, hati itu mungkin boleh mati. Mati hati berbeza daripada mati tubuh badan. Orang yang mati tubuh badan ditanam di dalam tanah. Orang yang mati hatinya, tubuh badannya masih sihat dan dia masih berjalan ke sama ke mari di atas muka bumi ini. Jika kita renungi kembali kepada diri zahir manusia, kita akan dapat menyusunnya sebagai tubuh, nyawa, naluri-naluri dan akal fikiran. Bila dibandingkan dengan haiwan, kita akan mendapati susunan haiwan seperti susunan manusia juga.. Haiwan mempunyai tubuh badan, nyawa dan naluri-naluri. Bezanya adalah haiwan tidak mempunyai akal fikiran. Oleh sebab manusia memiliki akal fikiran maka manusia boleh diistilahkan sebagai haiwan yang cerdik. Haiwan yang cerdik (manusia), dipanggil nafsu natiqah menurut istilah tasauf . Pemilikan akal tidak mengubah manusia dari status kehaiwanan. Jika ada haiwan berbangsa monyet, harimau, kuda dan lain-lain, maka ada haiwan berbangsa manusia. Haiwan berbangsa manusia menjadi raja memerintah semua haiwan yang lain. Akal fikiran yang ada pada mereka membuat mereka boleh membentuk kehidupan yang lebih sempurna dari haiwan lain yang tidak berakal. Akal fikiran juga mampu membuat haiwan bangsa manusia menawan daratan, lautan dan udara. Walaupun mereka berjaya menawan daratan dengan kenderaan mereka namun, itu tidak membezakan mereka daripada kuda dan haiwan lain yang mampu juga menawan daratan. Walaupun mereka berjaya menawan lautan namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan ikan yang juga menggunakan lautan. Walaupun mereka berjaya menawan udara namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan burung yang juga menggunakan udara. Kemampuan yang ditunjukkan oleh akal fikiran tidak mengubah status haiwan yang ada pada manusia. Apakah yang menjadikan manusia sebagai insan, bukan haiwan? Manusia menjadi istimewa kerana memiliki hati rohani. Hati mempunyai nilai yang mulia yang tidak dimiliki oleh akal fikiran. Semua anggota dan akal fikiran menghala kepada alam benda sementara hati rohani menghala kepada Pencipta alam benda. Hati mempunyai persediaan untuk beriman kepada Tuhan. Hati yang menghubungkan manusia dengan Pencipta. Hubungan dengan Pencipta memisahkan manusia daripada daerah haiwan dan mengangkat darjat mereka menjadi makhluk yang mulia. Hati yang cergas, sihat dan dalam keasliannya yang murni, berhubung erat dengan Tuhannya. Hati itu menyuluh akal fikiran agar akal fikiran dapat berfikir tentang Tuhan dan kejadian Tuhan. Hati itu menyuluh juga kepada anggota tubuh badan agar mereka tunduk kepada perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya. Hati yang berjaya menaklukkan akal fikiran dan anggota tubuh badannya serta mengarahkan mereka berbuat taat kepada Allah s.w.t adalah hati yang sihat. Hati yang sihat melahirkan takwa, iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t. Takwalah yang membezakan kedudukan seseorang hamba pada sisi Tuhan. Semakin tinggi darjat ketakwaan semakin hampir seorang hamba dengan Tuhannya. Semakin rendah darjat takwa semakin hampir seseorang dengan daerah kehaiwanan. Jika takwa tidak ada jadilah manusia itu haiwan yang pandai berfikir dan berkata-kata. Haiwan yang pandai berfikir inilah yang dikatakan manusia yang mati hatinya. Dia tidak dapat menggerakkan fikiran dan anggotanya menuju kepada Allah s.w.t. Bahagian yang menghala kepada Pencipta tidak berfungsi, hanya bahagian yang menghala kepada alam benda merupakan bahagian yang aktif. Manusia yang mati hatinya atau manusia yang berbangsa haiwan ini tidak berasa sedih jika terlepas peluang baginya untuk melakukan amalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan dan dia tidak berasa kesal jika dia berbuat dosa dan maksiat yang menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t. Kematian hati tidak dapat dikenal jika seseorang itu mengambil daya nilai keduniaan sebagai piawaian. Ramai orang yang menurut pengertian tasauf sudah mati hatinya tetapi mereka mencapai berbagai-bagai kecemerlangan dalam kehidupan dunia. Mereka menjadi pemimpin kepada orang ramai. Mereka menciptakan berbagai-bagai benda keperluan manusia. Mereka berjaya mendaki Gunung Everest. Mereka memegang bermacam-macam rekod kejohanan. Mereka menguasai kekayaan dan berbagai-bagai lagi kejayaan dan kecemerlangan. Apa juga kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi hendaklah diletakkan di atas neraca akhirat. Jika kejayaan dan kecemerlangan itu mampu menambahkan berat dacing kebaikan, maka kejayaan dan kecemerlangan itu adalah benar. Jika tidak ia hanyalah fatamorgana. |
H59 & 60: DOSA DAN BAIK SANGKA
| H59 & 60: DOSA DAN BAIK SANGKA |
| Allah s.w.t menurunkan syariat kepada umat manusia melalui nabi-nabi-Nya. Syariat menentukan hukum-hukum yang wajib dipatuhi. Hukum itu terdiri daripada dua jenis, satu yang wajib dibuat dan satu lagi yang wajib tidak dibuat. Perlakuan yang menyalahi hukum dinamakan dosa. Tidak melakukan yang wajib dilakukan adalah berdosa. Melakukan yang wajib tidak dilakukan juga berdosa. Syarat penerimaan dosa adalah kesedaran dan kerelaan hati dalam perbuatan tersebut. Perbuatan yang menyalahi hukum jika dibuat tanpa kesedaran, dan dengan terpaksa tidak dikatakan berdosa. Jika meninggalkan sembahyang kerana tertidur sebelum masuk waktu wajib sembahyang dan terjaga dari tidur setelah luput waktu sembahyang, maka meninggalkan sembahyang selama tempoh tertidur itu tidaklah berdosa. Seorang yang sedang kebuluran dan tidak ada makanan yang halal ditemuinya, yang ada hanyalah seketul daging khinzir yang syariat mengharamkan memakannya, jika dia memakan daging tersebut tidaklah dikira dia berdosa. Jika keadaan tidak sedar sengaja diadakan, seperti sengaja meminum arak kemudian ketika mabuk itu dia melakukan maksiat, maka dia mendapat dua dosa, iaitu dosa meminum arak dan dosa melakukan maksiat setelah sengaja tidak menyedarkan dirinya. Sengaja mengwujudkan suasana darurat untuk menyalahi hukum tidak melepaskan dari beban dosa. Misalnya, seorang pesakit yang membuat alasan penyakitnya hanya boleh sembuh dengan meminum arak menurut nasihat doktor kafir, maka perbuatan meminum arak secara ini hukumnya berdosa. Dosa disabitkan kepada pelanggaran syariat dan syariat pula dicipta oleh Allah s.w.t. Jadi, pada hakikatnya dosa adalah ditentukan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t yang meletakkan hukum. Tidak taat kepada Allah s.w.t itulah sebenarnya dosa. Syariat boleh berubah tetapi Allah s.w.t yang wajib ditaati tidak berubah. Banyak perkara yang diharamkan dalam syariat Nabi Musa a.s dihalalkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. Syariat nabi-nabi yang terdahulu tidak menghadkan bilangan isteri-isteri tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w menghadkannya setakat empat orang sahaja dalam satu masa. Jadi, intisari pahala dan dosa bukanlah sesuatu perbuatan itu, tetapi ketaatan atau kederhakaan kepada Allah s.w.t yang menjadi pahala atau dosa. Melakukan gerakan sembahyang jika tidak disertai dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, tidak dinamakan bersembahyang. Setiap perbuatan bergantung kepada niat. Perbuatan dilakukan oleh anggota zahir dan niat dilakukan oleh anggota batin iaitu hati rohani. Kelakuan hati itulah yang menentukan pahala atau dosa. Semua jenis ibadat hanya diperakui sebagai ibadat jika hati memperakukan ibadat itu kerana Allah s.w.t. Hati yang menentukan nilai perbuatan, bukan perbuatan yang menjadi penentu nilai. Oleh sebab itu perbuatan yang bersalahan dengan hukum tidak menjadi besar jika dibandingkan dengan kelakuan hati yang menafikan kesempurnaan Allah s.w.t dan mengadakan sangkaan buruk terhadap-Nya. Perbuatan dosa yang dilakukan oleh anggota zahir hanya mengotorkan manusia itu sendiri sahaja, tetapi sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t mencabar kesempurnaan ketuhanan Allah s.w.t, dan ini jauh lebih besar dosanya. Sebab itu dosa yang paling besar dan tidak diampuni-Nya adalah syirik, iaitu meruntuhkan keesaan ketuhanan Allah s.w.t. Manusia yang terkurung di dalam penjara dunia, hatinya dibayangi oleh cahaya api syaitan. Syaitan membawa kepadanya khayalan-khayalan yang membentuk sangkaan. Apabila seseorang itu didatangi oleh keinsafan dan mahu bertaubat dari dosa-dosanya, syaitan akan mengulang-tayang akan perbuatan dosanya dengan gambaran yang sangat hina dan menjijikkan sehingga orang itu merasakan dosanya terlalu besar, tidak mungkin mendapat keampunan Allah s.w.t. Dia tenggelam dalam lautan sangkaan bahawa Allah s.w.t tidak akan mengampunkan dosanya. Seterusnya timbul sangkaan bahawa tidak berfaedah lagi dia melakukan kebaikan kerana dosa-dosa yang lalu menghalang kebaikan yang hendak dilakukannya diterima oleh Allah s.w.t. Jadilah dia seorang yang hidup dengan dosa-dosa yang lalu dan tidak ada kebaikan baharu dikerjakan. Tugu sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t yang dibina oleh syaitan mestilah dirobohkan. Hikmat 57 telah menganjurkan agar tidak meninggalkan zikir walaupun hati lalai dari apa yang dizikirkan. Zikir yang dilakukan secara paksa itu akan meleburkan sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t sedikit demi sedikit, lalu muncullah sangkaan baik. Rohaninya seterusnya meningkat ke darjat yang lebih tinggi, di mana tidak ada lagi sangkaan terhadap Allah s.w.t, tetapi hati mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benar kenal. Dapatlah dia melihat bahawa niat datangnya dari Iradat Allah s.w.t. Tidak ada suatu kehendak kecuali apa yang bergantung kepada Iradat Allah s.w.t. Tidak ada satu perbuatan kecuali apa yang bergantung kepada Kudrat Allah s.w.t. Pada sisi Allah s.w.t tidak ada yang jahat, semuanya baik belaka. Jahat hanya wujud apabila nafsu manusia mengadakan kehendak dan perbuatan dirinya sendiri, lupa dia bersandar kepada Allah s.w.t. Junaid al-Baghdadi berkata: “Barangsiapa tidak mencapai fana dirinya dan baqa dengan Allah s.w.t, maka semua kebaikan yang dibuatnya adalah mengandungi dosa”. Ahli makrifat melihat kecilnya perbuatan dosa jika dibandingkan dengan pengakuan dirinya ada kuasa menciptakan sesuatu perbuatan. Bagi mereka, selagi mereka melihat diri mereka melakukan amalan, selagi itulah amalan mereka mengandungi dosa. Perhatian kepada diri menghijab perhatian kepada Tuhan. Orang arif mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Mereka melihat diri mereka tidak melakukan kejahatan kerana Allah s.w.t menjaga dan melindungi mereka daripada kejahatan. Mereka melihat diri mereka berbuat kebaikan kerana Allah s.w.t mengurniakan kebaikan itu kepada mereka. Tidak terlihat lagi pada mata hati mereka sesuatu apa pun kecuali yang dari Allah, kepada Allah dan beserta Allah s.w.t. Tanpa makrifat seseorang akan melihat amal yang dilakukannya dan dia cenderung untuk mengukur dirinya dengan amalan tersebut. Seterusnya dia menjadikan amalan tersebut sebagai persediaan untuk menghadap Allah s.w.t. Boleh dikatakan dia menjadikan amalannya sebagai tuntutan terhadap Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba membawa kepada Allah s.w.t amal perbuatannya, maka Allah s.w.t menerimanya dengan hisab dan perhitungan yang terperinci. Hisab Allah s.w.t sangat halus dan rapi. Tidak ada walau sebesar zarah pun yang terkeluar dari kiraan-Nya. Sebab itu jika kamu dihadapkan kepada keadilan Allah s.w.t, tidak ada dosa yang kecil atau remeh-temeh yang boleh lepas dari kiraan Allah s.w.t. Semuanya besar dan semuanya dikira. Berbeza keadaannya bagi orang yang dihadapi Allah s.w.t dengan kurnia-Nya. Allah s.w.t berfirman: Orang yang dibeli oleh Allah s.w.t, menjadi hamba abdi kepada-Nya. Allah s.w.t, sebagai Tuan, menguruskan, memelihara dan menjaga abdi-Nya. Apa juga perbuatan yang dilakukan oleh hamba abdi adalah yang diperintahkan oleh Tuannya. Tuan yang mengeluarkan perintah, Tuan juga yang mempertanggungjawabkannya. Hamba abdi tidak ada pilihan. Lantaran itu apabila Allah s.w.t menghadapi hamba abdi-Nya, maka dihadapi-Nya dengan kurnia-Nya bukan dengan tuntutan. Apabila Allah s.w.t tidak membuat tuntutan, tidak ada dosa dan kesalahan yang besar. Jadi, buatlah keputusan apakah mahu menjadi orang yang mengumpul amal dan membuat tuntutan kepada Allah s.w.t dengan amal itu, atau menjualkan diri kepada Allah s.w.t, menjadi abdi-Nya dan berserah sepenuhnya kepada-Nya. |
H61: AMAL YANG BERNILAI PADA SISI ALLAH S.W.T
| H61: AMAL YANG BERNILAI PADA SISI ALLAH S.W.T |
| Hikmat ini mengajak kita merenung kepada amal yang kita anggap kecil, remeh dan tidak penting. Amal yang demikian kita lakukan seketika kemudian terus melupakannya. Misalnya, ketika kita sedang memandu, seekor anak ayam melintasi jalan di hadapan, kita memperlahankan kereta sehingga anak ayam itu selamat menyeberang. Misal yang lain, seekor lalat terjatuh ke dalam minuman kita, lalu kita keluarkannya dan membiarkan ia terbang pergi. Peristiwa seperti itu dialami dalam beberapa saat sahaja, bersahaja, tidak menyentuh jiwa dan kemudian dilupakan buat selama-lamanya. Amal yang seperti itulah yang perlu direnungkan kerana begitulah bentuk amal yang diterima oleh Allah s.w.t. Amal yang demikian keluar dari kemanusiaan yang asli dan murni. Keaslian dan kemurnian itulah yang hendak dihidupkan dalam setiap amalan, walau bagaimana besar sekalipun amalan itu. Apalah bezanya menyelamatkan seorang manusia dengan seekor lalat yang sama-sama lemas di dalam air. Allah s.w.t yang mengizinkan dan menggerakkan kamu untuk menyelamatkan lalat yang lemas itu. Allah s.w.t juga yang mengizinkan dan menggerakkan kamu menyelamatkan manusia yang lemas. Siapakah kamu, di manakah kamu, apakah kekuasaan kamu, apakah tindakan kamu dalam peristiwa-peristiwa tersebut? Adakah berbeza kamu yang menyelamatkan lalat itu dengan kamu yang menyelamatkan manusia itu? Sekiranya seseorang itu tidak ada keegoan atau ketaksuban terhadap dirinya sendiri dan hatinya tawadhuk kepada Allah s.w.t, maka dia akan melihat Allah s.w.t yang menyelamatkan lalat dan Dia juga yang menyelamatkan manusia itu. Ambillah iktibar dari amal yang kecil-kecil dan dipandang remeh dalam membentuk amal yang besar-besar dan dipandang penting, supaya kamu tidak melihat kepada amal ketika beramal. Nilai sesuatu amal terletak pada ikhlas yang mengiringi amal tersebut dan ikhlas melepaskannya. Biasa terjadi seseorang itu ikhlas ketika berbuat kebaikan tetapi keikhlasan itu terusik kemudiannya. Kebanyakan manusia enggan melepaskan perbuatan baik yang telah mereka lakukan. Mereka suka mengingati dan menyebut kebaikan tersebut. Perbuatan demikian boleh membawa seseorang jatuh ke dalam samaah, iaitu menceritakan kebaikan supaya dirinya diperakui dan disanjung sebagai seorang yang baik. Samaah menjadi minyak yang memudahkan riak menyala. Apabila riak sudah menyala segala kebaikan yang telah dibuatnya akan terbakar. Apa yang tinggal dalam simpanan akhiratnya hanyalah debu-debu yang tidak berharga. Orang tersebut akan menjadi orang yang memikul peti besi yang besar berisi debu untuk dibukakan di hadapan Tuhan. Mereka gembira di dunia tetapi kehampaan di akhirat. Orang yang berada dalam suasana asbab perlu menghidupkan ikhlas dan memeliharanya agar tidak dirosakkan oleh ujub, riak dan sama'ah. Ikhlas dihidupkan dengan meniadakan kepentingan diri apabila berhubungan dengan orang lain. Ikhlas dipelihara dengan cara tidak mengikat kebaikan yang dibuat itu sama ada di mulut ataupun di ingatan. Serahkan segala kebaikan yang dibuat kepada Allah s.w.t, tidak perlu kita menyimpan di mulut kita. Ketahuilah, memelihara ikhlas lebih sukar daripada menghidupkan ikhlas. Seseorang hanya perlu berperang sekejap sahaja dengan nafsunya sebelum berjaya melakukan sesuatu perbuatan dengan ikhlas, tetapi dia perlu berperang dengan nafsunya sepanjang hayatnya untuk memelihara ikhlas yang sudah dilakukannya dahulu. Walau melalui arah mana pun diperhatikan, persoalannya tetap kembali kepada hati. Hati menjadi medan perebutan kuasa di antara nafsu dengan ikhlas. Modal nafsu adalah kepentingan diri. Nafsu mengingatkan sesuatu yang dia ada kepentingan atau hak padanya telah dilepaskan kepada orang lain. Oleh kerana nafsu tidak mati maka ingatannya kepada yang kehilangan itu juga tidak mati. Jihad terhadap nafsu ini berpanjangan. Ikhlas adalah umpama bayi suci yang perlu dipelihara dan dilindungi daripada dibaham oleh harimau nafsu. Cara menundukkan harimau nafsu adalah jangan memberinya makan. Makanannya adalah cerita mengenai haknya yang telah terlepas ke tangan orang lain. Racun bagi harimau nafsu adalah cerita mengenai kebaikan Tuhan yang membahagikan nikmat yang tidak terhingga kepada makhluk-Nya. Penetapan hak Allah atau Allah jualah Pemilik sebenar, akan melindungi bayi suci daripada musuh-musuh yang mahu mencederakannya. |
H62 – 64: WIRID DAN WARID
| H62 – 64: WIRID DAN WARID |
| Tidak mungkin bayi suci yang lahir dalam hati dapat dipelihara dan dilindungi dengan kekuatan dan kepandaian seseorang manusia itu. Manusia berhajat kepada Allah s.w.t untuk memelihara dan melindunginya. Hanya kurniaan Allah s.w.t yang mendatangi hati seseorang hamba itu yang mampu menjadi tentera menjaga khazanah kebaikan yang ada dalam hati. Kurniaan Allah s.w.t itu hanya menetap jika suasana hati sesuai untuknya. Allah s.w.t berkuasa mencabut semula apa juga kurniaan-Nya kepada hamba-Nya. Kesalihan telah dicabut daripada Azazil sehingga dia menjadi iblis. Kesalihan juga telah dicabut daripada Bal’am bin Ba’ura sehingga dia hidup di hutan seperti haiwan. Sesiapa yang menyangka kebaikan dan kelebihan yang ada padanya sebagai hak mutlaknya, lupa dia kepada kurniaan Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya, sesungguhnya orang itu menanti masa untuk menerima kemurkaan Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengasihani seseorang hamba itu Dia akan meletakkan sesuatu kelemahan pada hamba tersebut. Kelemahan itu sentiasa membayanginya untuk memperingatkannya tentang tarafnya sebagai hamba Tuhan yang sentiasa berhajat kepada-Nya. Nabi Muhammad s.a.w dihadapkan dengan kelemahan dalam membuat bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, mengucapkan dua kalimah syahadah. Nabi Nuh a.s dihadapkan dengan kelemahan dalam memujuk isteri dan anak supaya ikut menaiki kapalnya. Orang kaya dihadapkan dengan penyakit yang hartanya tidak mampu mengubatinya. Orang yang diberi kebolehan dihadapkan dengan kelemahan mendapatkan sesuatu yang sangat diingininya. Setiap orang berdiri dengan kelemahan yang tidak mungkin dia mengatasinya, kecuali dengan izin Allah s.w.t. Hal yang demikian menjadi rahmat yang memelihara kehambaan pada seseorang hamba itu. Hikmat-hikmat di atas menceritakan tentang persiapan hati untuk menerima kedatangan kurniaan Allah s.w.t. Persiapan hati itu dinamakan wirid dan kurniaan Allah s.w.t dinamakan warid. Aurad atau wirid adalah amal ibadat yang dilakukan secara berterusan menurut satu pola yang tertentu. Orang yang mengamalkan wirid akan melakukan jenis ibadat yang serupa pada tiap-tiap hari. Jika satu-satu amalannya tidak dapat dilakukannya pada masa yang biasa dia melakukannya kerana sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkannya, maka dia akan melakukan amalan yang tertinggal itu pada masa lain. Apabila seseorang sudah beramal secara demikian dengan teguh, maka dia dikatakan beramal secara aurad atau wirid. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak hanya pada hari-hari tertentu dan tidak dilakukan dengan banyak pada hari-hari lain tidak dinamakan wirid. Wirid yang terbaik adalah yang menggabungkan sembahyang, puasa dan zikir, seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w semasa hidup baginda s.a.w. Wirid yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w diikuti oleh para sahabat. Dari para sahabat amalan ini berkembang kepada generasi-generasi kemudian hinggalah ke hari ini. Guru-guru yang arif kemudiannya menyusun wirid-wirid yang boleh diamalkan oleh murid-murid mereka mengikut darjat rohani mereka. Murid yang tekun mengamalkan wirid yang ditalkinkan oleh gurunya berkemungkinan didatangi oleh warid. Warid adalah pengalaman rohani yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hati murid yang mengekali wirid. Selain dinamakan warid, ia juga dipanggil dengan nama-nama lain seperti hal, pengalaman hakikat, waridah, Nur Ilahi, Sir dan lain-lain, menurut istilah tasauf . Banyaknya istilah yang digunakan adalah kerana sukarnya mahu menceritakan tentang apa yang sebenar berlaku pada hati seseorang yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Nur atau warid yang datang kepada hati seorang murid tidak sama dengan yang lain. Masa kedatangannya juga tidak serupa, walaupun murid-murid tersebut mengamalkan wirid yang serupa. Ada murid yang cepat mendapat warid dan ada yang lambat bahkan ada juga yang tidak pernah memperolehinya. Tempoh warid menetap di dalam hati juga tidak serupa. Ada yang memperolehi warid hanya sekadar beberapa minit sahaja, kemudian ia menghilang. Ada yang bertahan selama satu minggu, sebulan, setahun dan sebagainya. Keadaan tidak menentu itu terjadi kerana murid belum mencapai keteguhan atau istiqamah. Warid yang menetap hingga menjadi sifat murid itu dinamakan wisal dan dia akan hidup berterusan dengan wisal yang menyerap pada dirinya, hingga ke akhir hayatnya. Seorang murid atau salik perlulah bersungguh-sungguh mengamalkan wirid atau aurad bagi menyucikan hati agar hati itu berada dalam keadaan yang sesuai dan layak menerima kedatangan warid atau Nur Ilahi. Wirid adalah amalan untuk mempersiapkan diri, bukan wirid itu yang mengangkat seseorang ke Hadrat Allah s.w.t, bukan wirid yang mendatangkan warid. Warid adalah semata-mata kurniaan Allah s.w.t, tetapi hanya hati yang sesuai sahaja yang boleh menanggung kedatangannya, seperti juga wahyu yang merupakan kurniaan Allah s.w.t namun, hanya hati nabi-nabi yang boleh menerima kedatangannya. Apabila seseorang itu menerima kedatangan warid itu tandanya Allah s.w.t berkenan membawanya hampir dengan-Nya. Warid yang diterima oleh hati itu menarik hati kepada Allah s.w.t dengan mengeluarkannya dari penjara dunia dan syaitan. Kekuatan dunia, hawa nafsu, syaitan dan mata benda tidak dapat menyekat hati yang berjalan dengan warid kerana warid itu adalah tarikan langsung dari Allah s.w.t, bahkan orang yang menerima warid itu sendiri tidak dapat menghalang berlakunya kesan warid ke atas dirinya. Tarikan langsung dari Allah s.w.t mengelurkan hati nurani dari penjara wujud dan masuk ke dalam tauhid yang hakiki, menyaksikan (syuhud) dengan mata hatinya akan keesaan Allah s.w.t. Orang yang hatinya didatangi warid akan mengalami perubahan yang luar biasa. Jiwanya akan berasa tenang dan fikirannya tidak lagi kusut-masai. Dia dapat merasakan kelazatan beribadat dan berzikir. Warid yang masuk ke dalam hati menghancurkan sifat-sifat yang keji dan melahirkan sifat-sifat yang terpuji. Warid yang diterima oleh hati melahirkan beberapa jenis perasaan. Hati mungkin berasa gembira dan mungkin juga berasa sayu bila menerima kedatangan warid. Warid dalam suasana gembira adalah tajalli Allah s.w.t kepada hamba-Nya dengan sifat Jamal (keindahan). Warid yang melahirkan rasa sedih dan kecut hati adalah tajalli Allah s.w.t dengan sifat Jalal (kebesaran). Orang yang mengalami suasana sifat keindahan Allah s.w.t akan merasai kedamaian, ketenangan, keseronokan, kelazatan dan sangat membahagiakan. Pengalaman rohani tersebut membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Lemah-lembut, Maha Pengampun dan sifat-sifat lain yang menyenangkan. Apabila hati rohani mengalami sifat-sifat keagungan dan keperkasaan Allah s.w.t maka akan terasa kecut hatinya, menggeletar tubuhnya dan mungkin dia jatuh pengsan. Pengalaman begini membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Perkasa, Maha Keras, Maha Tegas, Maha Hebat seksaan-Nya dan tidak ada sesuatu yang terlepas dari genggaman-Nya. Pengalaman warid adalah umpama Mikraj (tangga) untuk mencapai Allah s.w.t. Warid peringkat pertama menggerakkan hati supaya rajin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Warid peringkat kedua memutuskan si hamba dari pergantungan kepada makhluk dan membulatkan semangatnya untuk berpegang kepada Allah s.w.t semata-mata. Warid peringkat ke tiga melepaskan si hamba dari sifat-sifat kemanusiaan dan seterusnya bebas dari kewujudan yang terbatas lalu masuk kepada Wujud Mutlak yang tiada batas. Kesedarannya tidak ada lagi pada dirinya dan alam maujud seluruhnya, yang ada hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa lagi Maha Berdiri Dengan Sendiri. |
H65 – 67: NUR, MATA HATI DAN HATI
| H65 – 67: NUR, MATA HATI DAN HATI |
| NUR-NUR ILAHI ADALAH KENDERAAN HATI DAN RAHSIA HATI. Allah s.w.t hanya boleh dikenal jika Dia sendiri mahu Dia dikenali. Jika Dia mahu memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka hati hamba itu akan dipersiapkan dengan mengurniakannya warid. Hati hamba diterangi dengan Nur-Nya. Tidak mungkin mencapai Allah s.w.t tanpa dorongan yang kuat dari Nur-Nya. Nur-Nya adalah kenderaan bagi hati untuk sampai ke Hadrat-Nya. Hati adalah umpama badan dan roh adalah nyawanya. Roh pula berkait dengan Allah s.w.t dan perkaitan itu dinamakan as-Sir (Rahsia). Roh menjadi nyawa kepada hati dan Sir menjadi nyawa kepada roh. Boleh juga dikatakan bahawa hakikat kepada hati adalah roh dan hakikat kepada roh adalah Sir. Sir atau Rahsia yang sampai kepada Allah s.w.t dan Sir yang masuk ke Hadrat-Nya. Sir yang mengenal Allah s.w.t. Sir adalah hakikat kepada sekalian yang maujud. Nur Ilahi menerangi hati, roh dan Sir. Nur Ilahi membuka bidang hakikat-hakikat. Amal dan ilmu tidak mampu menyingkap rahsia hakikat-hakikat. Nur Ilahi yang berperanan menyingkap tabir hakikat. Orang yang mengambil hakikat dari buku-buku atau dari ucapan orang lain, bukanlah hakikat sebenar yang ditemuinya, tetapi hanyalah sangkaan dan khayalan semata-mata. Jika mahu mencapai hakikat perlulah mengamalkan wirid sebagai pembersih hati. Kemudian bersabar menanti sambil terus juga berwirid. Sekiranya Allah s.w.t kehendaki warid akan didatangkan-Nya kepada hati yang asyik dengan wirid itu. Itulah kejayaan yang besar boleh dicapai oleh seseorang hamba semasa hidupnya di dunia ini. Alam ini pada hakikatnya adalah gelap. Alam menjadi terang kerana ada kenyataan Allah s.w.t padanya. Misalkan kita berdiri di atas puncak sebuah bukit pada waktu malam yang gelap gelita. Apa yang dapat dilihat hanyalah kegelapan. Apabila hari siang, matahari menyinarkan sinarnya, kelihatanlah tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menghuni bukit itu. Kewujudan di atas bukit itu menjadi nyata kerana diterangi oleh cahaya matahari. Cahaya menzahirkan kewujudan dan gelap pula membungkusnya. Jika kegelapan hanya sedikit maka kewujudan kelihatan samar. Sekiranya kegelapan itu tebal maka kewujudan tidak kelihatan lagi. Hanya cahaya yang dapat menzahirkan kewujudan, kerana cahaya dapat menghalau kegelapan. Jika cahaya matahari dapat menghalau kegelapan yang menutupi benda-benda alam yang nyata, maka cahaya Nur Ilahi pula dapat menghalau kegelapan yang menutup hakikat-hakikat yang ghaib. Mata di kepala melihat benda-benda alam dan mata hati melihat kepada hakikat-hakikat. Banyaknya benda alam yang dilihat oleh mata kerana banyaknya cermin yang membalikkan cahaya matahari, sedangkan cahaya hanya satu jenis sahaja dan datangnya dari matahari yang satu jua. Begitu juga halnya pandangan mata hati. Mata hati melihat banyaknya hakikat kerana banyaknya cermin hakikat yang membalikkan cahaya Nur Ilahi, sedangkan Nur Ilahi datangnya dari nur yang satu yang bersumberkan Zat Yang Maha Esa. Kegelapan yang menutupi mata hati menyebabkan hati terpisah daripada kebenaran. Hatilah yang tertutup sedangkan kebenaran tidak tertutup. Dalil atau bukti yang dicari bukanlah untuk menyatakan kebenaran tetapi adalah untuk mengeluarkan hati dari lembah kegelapan kepada cahaya yang terang benderang bagi melihat kebenaran yang sememangnya tersedia ada, bukan mencari kebenaran baharu. Cahayalah yang menerangi atau membuka tutupan hati. Nur Ilahi adalah cahaya yang menerangi hati dan mengeluarkannya dari kegelapan serta membawanya menyaksikan sesuatu dalam keadaannya yang asli. Apabila Nur Ilahi sudah membuka tutupan dan cahaya terang telah bersinar maka mata hati dapat memandang kebenaran dan keaslian yang selama ini disembunyikan oleh alam nyata. Bertambah terang cahaya Nur Ilahi yang diterima oleh hati bertambah jelas kebenaran yang dapat dilihatnya. Pengetahuan yang diperolehi melalui pandangan mata hati yang bersuluhkan Nur Ilahi dinamakan ilmu laduni atau ilmu yang diterima dari Allah s.w.t secara langsung. Kekuatan ilmu yang diperolehi bergantung kepada kekuatan hati menerima cahaya Nur Ilahi. Murid yang masih pada peringkat permulaan hatinya belum cukup bersih, maka cahaya Nur Ilahi yang diperolehinya tidak begitu terang. Oleh itu ilmu laduni yang diperolehinya masih belum mencapai peringkat yang halus-halus. Pada tahap ini hati boleh mengalami kekeliruan. Kadang-kadang hati menghadap kepada yang kurang benar dengan membelakangkan yang lebih benar. Orang yang pada peringkat ini perlu mendapatkan penjelasan daripada ahli makrifat yang lebih arif. Apabila hatinya semakin bersih cahaya Nur Ilahi semakin bersinar meneranginya dan dia mendapat ilmu yang lebih jelas. Lalu hatinya menghadap kepada yang lebih benar, sehinggalah dia menemui kebenaran hakiki. |
H68 & 69: KETAATAN ADALAH KURNIAAN ALLAH S.W.T
| H68 & 69: KETAATAN ADALAH KURNIAAN ALLAH S.W.T |
| “DENGAN SEBAB KURNIA ALLAH S.W.T KEPADA HAMBA-NYA, MAKA DENGAN DEMIKIAN ITULAH MEREKA PATUT BERGEMBIRA, ITU LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA KUMPULKAN”. Hikmat 67 menghuraikan, hatilah yang menghadap atau membelakang, berdasarkan kedudukan kerohanian seseorang. Hati yang baharu keluar dari selimut kegelapan dan masuk kepadanya cahaya Nur Ilahi akan melahirkan sikap gemar melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Kalau dahulu dia memaksa dirinya untuk beribadat, kini dia berasa mudah untuk beribadat dan tidak berasa berat walaupun banyak ibadat yang dilakukannya. Perubahan yang berlaku ini disedarinya dan dia sangat bergembira dengan perubahan tersebut. Kadang-kadang dia membandingkan amal kebaikannya dengan amal kebaikan orang lain yang masih hanyut dalam kelalaian. Bertambah ketara kepadanya akan kekuatan dia melakukan ibadat. Bertambah pula kegembiraannya. Lahirnya perasaan demikian adalah kerana kuat azamnya untuk berjuang membuang sifat-sifat tercela dan menghidupkan sifat-sifat terpuji. Apabila dia melihat sifat-sifat terpuji sudah menghiasi dirinya timbullah kegembiraannya kerana usahanya telah mengeluarkan hasil yang baik. Beginilah kesan yang muncul pada orang yang bersandar kepada usaha dan amalnya. Inilah yang selalu berlaku kepada orang yang masih diperingkat permulaan, sebelum hatinya mencapai kematangan. Orang yang bersandar kepada usaha dan amalnya tidak dapat maju dalam bidang kerohanian. Jika dia mahu maju dalam perjalanannya dia hendaklah mengubah haluan pandangannya. Dia tidak boleh lagi memandang dari amal kepada Allah s.w.t, sebaliknya dia hendaklah memandang dari Allah s.w.t kepada amal. Dia tidak seharusnya melihat amal sebagai kenderaan yang membawanya menuju Allah s.w.t, sebaliknya dia seharusnya melihat amal itu adalah tarikan dari Allah s.w.t agar dia dapat menuju kepada-Nya. Dia tidak seharusnya berasa gembira melihat amalnya membawanya hampir dengan Allah s.w.t, kerana penglihatan begini mengandungi tipu daya. Dia hendaklah melihat Allah s.w.t sahaja yang bertindak membawanya hampir dengan-Nya. Amal yang lahir daripadanya adalah kurniaan Allah s.w.t sebagai tanda bahawa dia dipersiapkan untuk bertemu dengan Tuhannya. Inilah seharusnya membuat dia bergembira. Allah s.w.t memberi peringatan tentang perkara ini dengan firman-Nya: Ayat di atas mengajak kita melihat bahawa diri kita tidak mempunyai sebarang daya dan upaya. Tidak bergerak sebesar zarah pun melainkan dengan izin Allah s.w.t. Segala-galanya datang dari Allah s.w.t. Allah s.w.t sahaja yang menciptakan segala sesuatu termasuklah amal kebaikan yang kita lakukan. Kita sendiri tidak mampu melakukan perbuatan baik itu. Apa juga kebaikan yang muncul dari kita adalah kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Amal kebaikan itu adalah rahmat dari Allah s.w.t, bukan hasil usaha kita. Jadi, kita sepatutnya bergembira menerima rahmat-Nya tidak bergembira melihat diri kita berbuat kebaikan. Satu lagi tipu daya yang halus yang sering mengganggu perjalanan seorang murid adalah keinginan untuk mengetahui makam yang telah dicapainya. Dia suka mengintai-intai dirinya. Dia bertanya pada dirinya apakah hatinya sudah suci bersih, apakah dia sudah mencapai martabat wali Allah, apakah dia sudah menjadi Insan Kamil, apakah dia sudah mencapai makam bersatu dengan Allah s.w.t, apakah sudah ada kekeramatan pada dirinya dan lain-lain darjat kerohanian. Perkara yang seperti ini boleh mengganggu perjalanan kerohanian kerana ia menjuruskan perhatian kepada diri sendiri dan menambahkan kekebalan hijab diri dan semakin menutup mata hati dari melihat kepada Allah s.w.t. Selagi dia ‘menghidupkan’ dirinya dalam kesedarannya selagi itulah dia tidak dapat masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Orang yang mahu mencapai Allah s.w.t hendaklah terlebih dahulu mencapai makam benar bersama-sama Allah s.w.t dalam amal dan ahwalnya. Hatinya sentiasa teguh bersama-sama Allah s.w.t, bukan bersama-sama dirinya, amalnya dan kedudukan kerohaniannya. Maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t. Amal dan ahwal bukanlah tujuan tetapi hanya alat untuk menuju kepada tujuan. Orang yang telah sampai kepada matlamat memperolehi kedudukan benar bersama Allah s.w.t. Akal, nafsu dan hati berada dalam suasana harmoni. Apabila akal dan nafsu tidak lagi menghijab, maka mata hatinya menjadi celik dan dia masuk kepada penyaksian. Hatinya menyaksikan amal kebaikan yang keluar daripadanya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka dia lenyap dalam perbuatan, takdir atau lakuan Allah s.w.t. Dia tidak lagi melihat kepada amal tersebut. Ahwal adalah tajalli Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Apabila Allah s.w.t bertajalli, segala sesuatu binasa kecuali Wajah-Nya. Kesedaran si hamba hilang dalam penyaksian hakiki mata hati. Pandangan yang hakiki tidak memperlihatkan amal dan ahwalnya. Dia hanya menyaksikan Allah s.w.t Yang Maha Esa. |
H70 – 72: TAMAK MELAHIRKAN KEHINAAN
| H70 – 72: TAMAK MELAHIRKAN KEHINAAN |
| Bidang latihan kerohanian menekankan soal menyerah diri kepada Allah s.w.t. Orang yang maju dalam bidang tersebut adalah orang yang memisahkan dirinya dari pengaruh duniawi dan makhluk sekaliannya, hatinya hanya terikat dengan Allah s.w.t. Latihan kerohanian mendidik hati agar berpisah daripada diri sendiri iaitu berpisah dengan kehendak diri sendiri, cita-cita, angan-angan dan fikiran lalu masuk ke dalam penguasaan Iradat Allah s.w.t. Orang yang dikuasai oleh Iradat Allah s.w.t tidak mempunyai kehendak melainkan keinginan mahu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t, maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t, fikiran dan renungan hanya kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi kekuatan yang tertuju kepada selain Allah s.w.t. Jika seseorang murid menghadapi kesukaran untuk berserah diri dan bergantung kepada Allah s.w.t, susah pula melepaskan keinginannya serta menghilangkan gambar-gambar benda alam dari hatinya, maka periksalah hati itu pasti akan ditemui bahawa hati itu menghidapi penyakit tamak atau loba. Tamak diibaratkan sebagai benih yang menumbuhkan pokok kehinaan. Dahan-dahan kehinaan akan menjalar dan terhulur ke sana ke mari. Penyakit tamak akan mengikis perasaan malu dan menghapuskan maruah diri dan memakaikan pakaian kehinaan kepada orang yang berkenaan. Dia menjadi hina pada pandangan makhluk dan lebih buruk lagi kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Dia umpama anjing yang lidahnya sentiasa terjulur melihat apa yang ada di dalam tangan orang lain. Si anjing tidak memperdulikan apakah dia dimaki, dihalau atau dipukul asalkan dia boleh dapat apa yang dia mahu. Si tamak melihat seolah-olah rezeki yang diperuntukkan kepadanya tidak ada sempadan, sementara rezeki yang diperuntukkan kepada orang lain masuk ke dalam sempadan rezekinya, sebab itu menjadi haknya untuk mengambil apa yang masuk ke dalam sempadannya. Si tamak tidak memperdulikan bagaimana dia mendapatkan apa yang dia hajati, apakah dengan menadah tangan, memujuk rayu, menipu atau memaksa. Tamak timbul dari waham iaitu syak wasangka atau ragu-ragu dengan rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menjaminkan rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan sebagai timbal balasnya hamba pula diberi tanggungjawab (Hikmat 5). Orang yang ragu-ragu terhadap jaminan Allah s.w.t mencuaikan kewajipan yang diamanatkan kepadanya dan rajin mencari apa yang dijamin untuknya sehingga menceroboh sempadan yang menjadi jaminan untuk orang lain. Inilah yang terjadi pada orang tamak. Bagaimana boleh dia menghampiri Allah s.w.t jika amanat yang diserahkan kepadanya diabaikannya dan tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya dicampakkannya. Dia berasa ragu-ragu untuk menggunakan masa bersama-sama Allah s.w.t, bimbang rezeki yang dijamin tidak akan sampai kepadanya. Lantaran itu dia meninggalkan peluang bersama-sama Allah s.w.t kerana mengejar apa yang dia tamakkan. Orang ini memilih harta Allah s.w.t daripada Allah s.w.t yang menguasai harta itu. Tamak dan sangkaan tidak berpisah. Orang tamak dihela ke sana ke mari oleh sangkaannya untuk mengejar kebendaan. Dia tidak sedar yang dia sudah menjadi hamba kepada benda, dan orang yang boleh mendatangkan benda itu kepadanya dapat menguasi dirinya itu. Tetapi, dia menyangka dialah yang menguasai benda dan orang tadi, padahal dia tunduk kepada benda dan orang yang menguasai pemilikan benda itu. Sekiranya seorang raja dikuasai oleh perasaan tamak, akan wujudlah kerajaan di belakang tabir yang menguasai takhta dan pemerintahan secara tidak langsung. Jika menteri kabinet dikuasai oleh perasaan tamak, akan wujudlah kabinet bayangan yang mempengaruhi keputusan menteri tadi. Kekuasaan, pangkat dan harta tidak memerdekakan seseorang yang tamak Dia hanya boleh merdeka jika dia membuang sifat ini. Apabila tidak ada lagi keinginannya untuk memiliki apa yang berada di dalam tangan orang lain, baharulah dia bebas berjalan menuju Allah s.w.t. Dia sudah terlepas daripada sauh yang menariknya ke bawah. Allah s.w.t memberi ancaman yang keras kepada mereka yang tamak. |
H73: NIKMAT DAN BALA ADALAH JALAN MENDEKATI ALLAH S.W.T.
| H73: NIKMAT DAN BALA ADALAH JALAN MENDEKATI ALLAH S.W.T. |
| Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah s.w.t melalui dua cara. Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman: Walau jalan mana pun yang ditempuh oleh seseorang hamba itu, Allah s.w.t menantinya dengan keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak berasa rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi. Ujian menjadi batu pengasah untuk menggilap iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki, ditaburkan rezeki kepadanya atau disempitkan. Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t. Keluasan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Baik, Maha Pemurah. Kesempitan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Keras, Maha Perkasa. Pada kedua-duanya dia mengenali Allah s.w.t yang menghalau takdir demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan. Orang yang beriman dengan Allah s.w.t dan takdir-Nya akan mendapat pimpinan-Nya. Allah s.w.t berkuasa membalikkan hati-hati. Dipimpin-Nya hati orang yang beriman agar menghadap kepada-Nya. Orang yang dipimpin-Nya akan berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat hamba mengenali kekuasaan-Nya pada membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat menjadi rajin. Orang-orang yang beriman akan sentiasa diuji kerana ujian itu membawa berbagai-bagai ganjaran, nikmat dan kurniaan dari Allah s.w.t. Kekuatan amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat seseorang hamba, lalu Allah s.w.t hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hamba-Nya dipersucikan dan diangkat darjatnya. Dalam melakukan yang demikian, Allah s.w.t kenakan ujian kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara yang hampir dengan hamba itu, seperti harta dan keluarga. Ujian menjadi pengasing, mengasingkan hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan ujian itu ramai manusia disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan. Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian itu, malah ujian menambahkan kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi lautan ujian membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya. Hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t itulah yang akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat. |
H74: SYUKUR MENGIKAT NIKMAT
| H74: SYUKUR MENGIKAT NIKMAT |
| Biasanya kita takrifkan nikmat sebagai harta benda atau sesuatu yang menyenangkan. Kejadian dan keadaan yang selesa juga dianggap sebagai nikmat. Harta yang banyak adalah nikmat. Tubuh badan yang sihat adalah nikmat. Rupa yang cantik adalah nikmat. Suara yang merdu adalah nikmat. Betulkah semua itu nikmat? Jika harta menjadi nikmat tentu sahaja orang yang mempunyai harta yang banyak akan lebih tenteram jiwanya. Jika kesihatan adalah nikmat tentu orang yang sihat tubuh badannya akan berasa bahagia. Jika wajah yang cantik dan suara yang merdu adalah nikmat tentu mereka yang memilikinya mendapat kepuasan. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang berharta masih juga berasa miskin hingga mereka berasa perlu melakukan rasuah. Orang yang memiliki tubuh badan yang sihat masih tidak senang dengan tubuh badannya. Orang yang memiliki wajah yang cantik dan suara yang merdu masih tidak berasa senang dengan kecantikan wajah dan kemerduan suara yang dimiliki oleh orang lain. Anehnya pula orang yang tidak berharta, tubuh sering dihinggapi penyakit, wajah tidak cantik dan suara tidak merdu, boleh hidup dengan aman, bahagia dan tenteram. Golongan yang memiliki segala-galanya tidak merasakan kenikmatan sedangkan golongan yang tidak memiliki apa-apa pula yang merasakan kenikmatan hidup ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah nikmat? Jika kita mahu memahami maksud nikmat, kita perlu memahami perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepada kita. Kita melihat beberapa orang menerima benda yang serupa dan menghadapi keadaan yang serupa tetapi keadaan jiwa mereka tidak serupa. Ada orang yang terus menerus merungut walau sebanyak mana harta yang diterimanya. Ada orang yang terus menerus berkeluh-kesah walaupun keadaan yang menguntungkan mendatanginya. Ada pula orang yang sentiasa tenteram walaupun tidak didatangi harta. Namun, dia tetap tenteram walaupun didatangi keadaan cemas atau kesusahan. Jika kita renungkan dengan mendalam kita dapat merasakan bahawa apa yang mendatangi kita adalah alat, sementara sesuatu yang datang bersama-sama alat itulah yang menimbulkan nikmat ataupun sebaliknya. Alat yang datang mungkin serupa tetapi sesuatu yang ikut serta itu tidak serupa. Mata benda dan kejadian hanyalah kenderaan yang membawa utusan, dan utusan inilah yang mencetuskan kebahagiaan atau keresahan. Utusan inilah yang perlu disingkap untuk mengenali nikmat atau celaka. Secara umumnya sebab musabab turun mengenai manusia melalui tiga saluran. Saluran pertama dinamakan saluran dosa. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini menjadi hukuman terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, semuanya memberi tekanan kepada jiwa. Pemilikan harta yang banyak tidak memberi kepuasan kepadanya. Pemilikan isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Tidak ada nikmat yang turun melalui saluran ini. Semuanya membawa tekanan kepada jiwa sebagai balasan kepada dosa-dosa yang telah dilakukan. Jika perkara-perkara yang seharusnya menyenangkan seperti memiliki harta yang banyak dan isteri yang cantik masih memberi tekanan kepada jiwa, apa lagi pada perkara-perkara yang dipanggil bala bencana, tentu sahaja lebih menekan jiwa orang berkenaan. Juru iring atau utusan yang bertindak pada saluran ini adalah syaitan. Syaitan adalah sahabat kepada orang yang berdosa. Syaitan adalah utusan yang buruk, busuk dan keji. Walau apa pun yang turun melalui saluran ini bau busuk syaitan itulah yang diterima oleh hati. Oleh sebab itu hati tidak dapat merasakan kenikmatan, ketenteraman dan kepuasan. Saluran kedua dinamakan saluran pembersihan. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini berperanan untuk menyucikan hati. Utusan-utusan yang turun melalui saluran ini berganti-ganti antara yang baik dengan yang buruk. Utusan yang buruk berfungsi sebagai menghukum hati akibat sisa-sisa dosa yang masih melekat pada dindingnya. Utusan yang baik pula berperanan menyucikan dinding hati yang telah ditinggalkan oleh kekotoran dosa. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini pada peringkat permulaannya bercampur-campur di antara yang menggembirakan dengan yang menekankan. Tekanan dan kelapangan yang berganti-ganti itu melahirkan kesabaran pada hati orang berkenaan. Bila hati sudah bersih sepenuhnya daripada dosa, maka hanya proses pembersihan yang berlaku, tidak ada lagi hukuman. Pada peringkat ini hanya utusan yang baik-baik membawa sebab musabab kepadanya. Utusan yang baik-baik itu adalah para malaikat yang membawa perintah Allah s.w.t. Bila tidak ada lagi gangguan dari utusan yang kotor hati dapat memperteguhkan kesabarannya. Saluran ke tiga dinamakan saluran peningkatan darjat. Hati yang sudah menerima hukuman dosa dan telah pula menjalani proses penyucian, layak untuk dibawa naik kepada Allah s.w.t. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini berperanan membawa hamba hampir dengan Tuhannya. Semua perkara yang datang dibawa oleh utusan yang baik-baik, dipelihara agar tidak diganggu oleh golongan kotor dan ditapis terlebih dahulu supaya yang dibawa itu tidak memudaratkan penerimanya. Oleh itu tidak ada sebarang tekanan dan kekeliruan pada hati yang berada di dalam saluran ini. Hati sudah melepasi peringkat sabar dan masuk ke dalam reda. Walau bala bencana yang besar turun melalui saluran ini namun, hati tidak sedikit pun terusik, keredaan sejati terhadap ketentuan Allah s.w.t menguasainya. Bala bencana itu dirasakan oleh hati sebagai nikmat. Begitulah tiga saluran turunnya hukum sebab musabab yang menentukan nikmat atau celaka kepada hati yang menerimanya. Ada satu lagi saluran yang khusus bagi orang yang dipilih khusus oleh Allah s.w.t. Orang yang pada peringkat ini sudah selamat dari waham sebab musabab dan tidak lagi melihat kepada sebab musabab. Penglihatan mata hatinya berpindah dari melihat kepada perjalanan sebab musabab kepada memerhatikan perbuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak tunduk kepada hukum sebab musabab di dalam menentukan keputusan-Nya dan Dia tidak memerlukan sebab untuk berbuat sesuatu yang dikehendaki-Nya. Penglihatan orang pada peringkat ini hanya tertumpu kepada Allah s.w.t, baik dalam kenikmatan mahu pun dalam menghadapi malapetaka. Bila Allah s.w.t menjadi terang benderang, nescaya putuslah segala hukum sebab musabab, dan apabila Allah s.w.t dapat dilihat dengan penyaksian hakiki mata hati nescaya putuslah segala nisbah. Begitulah ucapan Nabi Khaidir a.s menceritakan kepada Nabi Musa a.s tentang perbuatannya menebuk perahu, membunuh kanak-kanak dan mendirikan pagar tanpa alasan yang terang. Inilah makam yang dinyatakan oleh ayat: Seorang murid yang masih dalam peringkat pembersihan masih lagi melihat kepada sebab musabab dan perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepadanya adalah melalui saluran yang kedua. Dia masih dalam perjuangan, sabar menghadapi bencana dan sabar dalam kesenangan. Dalam menghadapi bencana dia bersabar agar tidak bergoncang imannya dan dalam menghadapi kesenangan dia bersabar agar tidak terjatuh ke dalam kelalaian. Sabar begini menunjukkan dia bersyukur lantaran Allah s.w.t meletakkannya di dalam saluran yang mempunyai utusan yang baik-baik yang membawa nikmat. Dia melihat bahawa sabar itu sendiri adalah nikmat yang mesti disyukuri. Jika dia tidak bersyukur dengan kesabaran yang dikurniakan kepadanya itu dia akan jatuh ke dalam saluran yang pertama di mana apa jua yang sampai kepadanya menjadi bala yang mencengkam jiwa. |
H75: KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ
| H75: KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ |
| Orang kafir, musyrik, ahli maksiat, orang zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam kehidupan dunia ini selalu mendapat berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang memiliki sebahagian besar kekayaan dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang menjadikan mereka kuasa besar di dunia. Mereka juga menguasai bidang-bidang sukan, muzik, kesenian dan lain-lain. Kumpulan manusia yang beriman pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam. Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya. Hikmat 75 ini menghuraikan perkara berkaitan kurniaan yang tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan istidraj. Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah s.w.t mendatangkan bala yang besar kepada mereka. Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah. Kejatuhan yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat. Allah s.w.t berfirman: Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah s.w.t, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat. Waspadalah! Allah s.w.t sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah s.w.t dengan merendahkan diri. Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah s.w.t. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka. Apabila seksaan dan kebinasaan dari Allah s.w.t datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak tahu berbuat apa-apa. Sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan Allah s.w.t melalui saluran istidraj. Firaun dan Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan di dalam laut dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa ketika asyik dengan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi Nuh dan Luth. Orang-orang yang beriman sentiasa mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj. |
H76: MURID YANG TERPEDAYA
| H76: MURID YANG TERPEDAYA |
| Hikmat 75 menceritakan tentang istidraj yang dialami oleh orang yang lalai daripada peringatan Allah s.w.t, Hikmat 76 ini pula mengingatkan murid yang berjalan pada jalan kerohanian supaya gejala istidraj itu tidak menimpanya ketika dalam perjalanan. Bagi orang awam tidak bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t boleh menyebabkan tersingkirnya rasa nikmat yang mengiringi kurniaan itu. Bagi orang Mukmin di samping bersyukur adalah penting baginya memelihara adab sopan bersama-sama Allah s.w.t. Mungkin saranan supaya beradab sopan bersama-sama Allah s.w.t bunyinya janggal bagi orang awam, tetapi bagi mereka yang mendekati Allah s.w.t, mereka dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada setiap masa dan di mana sahaja. Apabila seseorang itu meyakini bahawa Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia berada, Allah s.w.t mendengar pertuturannya dan bisikan hatinya maka dia berkewajipan memelihara adab sopan sebagai hamba yang berdiri di hadapan Tuannya. Bertambah hampir seseorang dengan Allah s.w.t bertambah pula tuntutan adab sopan ke atasnya. Perjalanan menuju Allah s.w.t bukanlah perjalanan mencari kemuliaan sama ada kemuliaan duniawi atau ukhrawi. Perjalanan ini adalah tindakan menghinakan diri di hadapan Allah s.w.t, kerana hina, lemah dan jahil adalah sifat makhluk, hanya Allah jua Yang Mulia, Yang Berkuasa dan Yang Mengetahui. Sekalian makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha Kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun. Adab sopan yang paling utama dijaga adalah yang menyentuh keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan sekalian alam, Maha Bijaksana dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir dan menguruskan penghidupan sekalian makhluk yang dicipta-Nya. Seorang hamba hendaklah yakin kepada kebijaksanaan Tuannya. Terserah kepada Tuannya memilih layanan yang hendak diberikan kepada si hamba itu. Ibrahim bin Adham telah menceritakan kisah beliau membeli seorang hamba. Berikut adalah percakapannya dengan hamba yang dibelinya itu: Ibrahim bin Adham berfikir, sekiranya dia hamba Allah s.w.t tentu dia menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Beginilah adab sopan seorang hamba Allah s.w.t dengan Allah s.w.t. Seorang yang mengaku sebagai hamba Allah s.w.t tidak seharusnya membeberkan hajat keperluannya. Bukankah Allah Maha Mengerti dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang hamba berdiri di hadapan Tuannya tanpa mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang kehendak, cita-cita dan alasan. Reda dengan lakuan Tuannya itulah sifat hamba yang sejati. Seorang murid yang sedang dalam perjalanan masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir Allah s.w.t, lantaran itu dia cenderung untuk membeberkan hajatnya kepada Allah s.w.t, seolah-olah Allah s.w.t tidak melihat keadaannya. Banyaklah permintaannya kepada Allah s.w.t. Dia mungkin meminta Allah s.w.t melepaskannya dari sesuatu yang tidak disenanginya tanpa berfikir bahawa yang tidak disenanginya itu mungkin mendatangkan kebaikan baginya. Dia mungkin meminta didekatkan kepada Allah s.w.t kerana dia merasakan dia sudah layak didekatkan. Dia mungkin meminta kekeramatan agar orang ramai mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang demikian menunjukkan tiada sopan santun seorang hamba kepada Tuannya, iaitu Allah s.w.t yang sempurna pengertian-Nya dan sempurna pembahagian-Nya. Walaupun si hamba itu telah tidak bersopan di hadapan Allah s.w.t, mungkin dia tidak dihukumkan dengan serta-merta. Ini membuat si hamba tadi menyangka bahawa tiada salah pada adabnya. Ini menandakan kejahilannya.. Dia tidak sedar bahawa kurang beradab sopan itu sudah merupakan balasan terhadapnya. Lebih buruk lagi dia tidak dikurniakan pengalaman kerohanian yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan penyerahan terhadap Allah s.w.t, putus juga perjalanannya mendekati Allah s.w.t. Tetapi dia masih menyangkakan yang dia terus mendekati Allah s.w.t. Apabila dia dibiarkan menurut sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan tanpa dia menyedarinya. Begitulah hebatnya akibat tidak menjaga adab sopan dengan Allah s.w.t. Jika seorang murid tidak mahu putus kesopanannya dengan Allah s.w.t maka hendaklah dia mendekati Allah s.w.t dengan kesabaran. Pintu kesabaran adalah pintu yang paling hampir untuk masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Senjata yang paling kuat mempertajamkan kesabaran ialah ucapan: Dalam perkara adab sopan bersama-sama Allah s.w.t ini termasuk juga adab sopan terhadap Rasul-rasul-Nya, Malaikat-malaikat-Nya dan Kitab-kitab-Nya. Imam as-Syafi’e dalam menghuraikan Hadis yang bermaksud “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya dipotong tangannya”, dibaca oleh Imam as-Syafi’e, “Sekiranya perempuan yang mulia anak kepada lelaki yang mulia itu mencuri nescaya dipotong tangannya”. Begitulah halusnya sopan santun Imam as-Syafi’e, sehingga beliau enggan menyebut ibarat yang boleh menunjukkan kecacatan terhadap Rasulullah s.a.w dan puteri baginda yang mulia itu. Orang-orang Islam yang beradab sopan tidak memperkaitkan Rasulullah s.a.w dengan Abu Lahab, tidak membesarkan perkara yang tidak elok yang berlaku di Makkah, tidak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk, tidak membacanya di tempat membuang air, tidak membuang najis dengan menghadap ke kiblat dan banyak lagi perkara yang termasuk dalam adab sopan beragama yang menjadi kewajipan bagi orang yang mengaku beragama Islam menjaganya. Jangan memandangnya sebagai perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja mempunyai peraturan atau taman larangan, dan peraturan atau taman larangan Tuhan ialah adab sopan dalam majlis-Nya. Oleh sebab seseorang itu tidak luput dari penglihatan Allah s.w.t walau sejenak pun maka sepanjang masa seseorang itu berada dalam majlis-Nya dan berkewajipan memelihara adab sopan atau peraturan-Nya. |
H77: JANGAN MEREMEHKAN WIRID YANG LAMBAT KEDATANGAN WARID
| H77: JANGAN MEREMEHKAN WIRID YANG LAMBAT KEDATANGAN WARID |
| Wirid dan warid yang telah disentuh pada Hikmat 64 disinggung lagi dalam Hikmat 77 ini. Orang yang berpegang teguh dengan wiridnya menempuh salah satu dari dua jalan. Jalan pertama adalah jalan ahli akhirat dan jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Ahli akhirat berpegang teguh pada wiridnya sesuai dengan tuntutan syariat kerana dia mengharapkan balasan syurga dan dijauhkan dari azab neraka. Mereka berpeluang memperolehi kurniaan Allah s.w.t untuk mencapai makam Mukmin. Orang Mukmin adalah orang yang terjamin syurga baginya. Mereka bukan sahaja terjamin mendapat syurga di akhirat, bahkan semasa hidup di dunia lagi mereka mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah s.w.t seperti keberkatan pada usaha dan ketenangan pada jiwa. Orang Mukmin berada dalam makam asbab. Keberkatan yang dikurniakan kepada mereka menyebabkan mereka dapat menjalankan kehidupan mereka mengikut kedudukan asbab tanpa bercanggah dengan syariat. Kejayaan mengharmonikan berbagai-bagai anasir dalam dirinya di bawah payung syariat menyebabkan jiwanya menjadi tenang. Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Orang yang menjalani jalan ini dinamakan salikin, salik, muridin atau murid. Orang salik mengamalkan wirid bukan kerana berkehendakkan balasan syurga dan bukan kerana mahu mengelakkan seksaan neraka. Tujuannya adalah untuk membersihkan hati dan berharap agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya makrifat. Makrifatullah yang dicari bukan syurga yang dituntut. Apabila memperolehi makrifat dia dipanggil orang arif, iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Seterusnya, kehalusan adab sopannya dan kehalusan kurniaan Allah s.w.t kepadanya menjadikannya orang yang mencintai Allah s.w.t (muhibbin). Walau jalan mana yang ditempuh, di sana terdapat mereka yang telah berpegang teguh dengan berwirid tetapi tanda-tanda orang yang berjaya sampai ke puncak tidak kelihatan pada mereka. Mereka tidak mendapat kurniaan Allah s.w.t dalam bentuk pengalaman kerohanian yang halus-halus. Tidak ada tanda ahli makrifat dan tidak ada cahaya ahli muhibbin pada mereka. Kemungkinannya mereka dipandang rendah oleh orang lain. Orang ramai menilai pencapaian berdasarkan kepada apa yang nyata, seperti pembuktian dengan kekeramatan, mulut masin atau kefasihan menyampaikan ilmu makrifat. Pandangan yang demikian merupakan satu kekeliruan. Sebenarnya kesanggupan untuk mengekalkan wirid sudah merupakan kurniaan yang besar daripada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t tidak mengurniakan kepadanya keteguhan hati tentu mereka tidak sanggup mengekalkan wirid. Keteguhan hati dalam menjaga wirid adalah warid yang datang dari Allah s.w.t dan tidak semua orang memperolehinya. Oleh yang demikian janganlah meremehkan orang yang teguh menjaga wirid sekalipun tidak kelihatan tanda-tanda kecemerlangan pada mereka. |