Wednesday, 4 November 2015

H79: WARID TERJADI SECARA TIBA-TIBA

 
H79: WARID  TERJADI SECARA TIBA-TIBA

 

TIDAK TERJADI WARID (KURNIAAN) YANG LANGSUNG DARI ALLAH S.W.T  KECUALI SECARA MENDADAK SUPAYA TIDAK DIDAKWA OLEH PARA HAMBA BAHAWA DIA MENERIMANYA KERANA ADA PERSIAPANNYA.

Allah s.w.t adalah Maha Esa, tidak ada sesuatu bersekutu dengan-Nya. Dia tidak bersekutu dengan amal hamba-Nya, ilmu hamba-Nya, doa hamba-Nya, hajat hamba-Nya, rencana hamba-Nya, persiapan hamba-Nya dan apa sahaja yang zahir serta yang batin. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, Dia tidak terikat kepada sebab dan akibat. Kurniaan yang besar untuk seseorang hamba-Nya adalah si hamba itu dipertemukan dengan hakikat bahawa Allah s.w.t Maha Berdiri Dengan Sendiri. Pertemuan dengan sifat ini membuat si hamba mengenali akan keesaan Allah s.w.t. Salah satu cara Allah s.w.t memperkenalkan sifat Berdiri-Nya Dengan Sendiri kepada hamba-Nya adalah dengan memberikan kurniaan-Nya kepada hamba-Nya secara tiba-tiba hingga kurniaan itu tidak boleh disebabkan kepada sesuatu melainkan dinisbahkan kepada Allah s.w.t sahaja. Allah s.w.t berfirman:

Dialah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )

 Dia Yang Awal tanpa permulaan, Yang Akhir tanpa kesudahan, Yang Zahir ada kenyataan-Nya pada makhluk dan Yang Batin tersembunyi dari makhluk-Nya. Dia mengetahui amal hamba-Nya sebelum si hamba itu beramal. Dia mengetahui doa  hamba-Nya sebelum si hamba itu berdoa. Dia mengetahui ilmu hamba-Nya sebelum si hamba itu berpengetahuan. Bahkan Dia mengetahui gerak dan diam hamba-Nya sebelum si hamba itu diciptakan. Yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin tidak terlepas dari pengetahuan-Nya kerana Ilmu-Nya adalah Ilmu Yang Awal, Ilmu Yang Akhir, Ilmu Yang Zahir dan Ilmu Yang Batin. Segala sesuatu itu telah ada dalam Ilmu-Nya dan tetap ada dalam Ilmu-Nya tanpa tertakluk kepada penciptaan makhluk-Nya.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah s.w.t. ( Ayat 22 : Surah al-Hadiid )

Tarikan yang langsung dari Allah s.w.t menghela pandangan mata hati daripada benda-benda alam dan kejadian alam kepada Pencipta alam, Pengatur segala urusan. Beginilah Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Proses ini dinamakan pengalaman hakikat yang menghasilkan makrifat. Ilmu tentang hakikat atau biasanya dipanggil ilmu hakikat, dinamakan juga ilmu Rabbani (ilmu yang dinisbahkan kepada ketuhanan) atau ilmu laduni (ilmu yang diterima secara langsung dari Allah s.w.t), tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal. Tidak ada jalan atau persiapan yang memastikan seseorang akan memperolehinya. Ia adalah semata-mata kurniaan dari Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang layak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Hanya Allah s.w.t yang mengetahui siapakah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang layak mengenali-Nya. Hanya Allah s.w.t yang berhak menetapkan bila dan bagaimana Dia harus dikenali.

Bila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya disampaikan kepada hamba-Nya itu ilmu hakikat, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Tiba-tiba sahaja Nur Ilahi menerangi hati si hamba itu dan terbukalah mata hatinya untuk syuhud kepada Tuhannya. Hamba itu pun berpengetahuan bahawa Ilmu Allah s.w.t yang sempurna meliputi sejak azali hingga kepada tiada kesudahan. Dia pun berpengetahuan bahawa Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesuatu apa pun yang ikut campur dalam urusan-Nya. Dia pun berpengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t. Semakin mendalam makrifatnya semakin luas pula ilmu pengetahuannya, bertambah teguhlah pegangan tauhidnya. 
 



H80: TANDA KEJAHILAN AHLI HAKIKAT

 
H80: TANDA KEJAHILAN AHLI HAKIKAT

 

JIKA KAMU MELIHAT SESEORANG (AHLI HAKIKAT)  MENJAWAB SETIAP PERTANYAAN DAN MENERANGKAN SETIAP PENGLIHATAN (MATA HATI) DAN MENCERITAKAN SETIAP YANG DIKETAHUINYA, MAKA KETAHUILAH BAHAWA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH TANDA KEJAHILANNYA.

Manusia digesa supaya menggunakan akal fikirannya untuk mengkaji tentang kejadian-kejadian alam maya ciptaan Tuhan Maha Pencipta. Semakin mendalam pengetahuan tentang ciptaan Allah s.w.t, semakin kelihatan kebesaran dan keagungan-Nya. Bertambah pula keinsafan tentang kelemahan yang ada pada diri manusia terutamanya dalam menghuraikan hal ketuhanan. Ilmu pengetahuan yang mahir dalam perbahasan tentang makhluk menjadi tidak bermaya apabila mencuba menyingkap Rahsia-rahsia ketuhanan. Bila mengakui akan kejahilan dirinya seseorang itu menyerahkan dirinya dengan beriman kepada Allah s.w.t. Penyerahan ini dinamakan aslim dan orang yang berbuat demikian dinamakan orang Islam. Orang yang beriman tidak membahaskan tentang Allah s.w.t kerana mereka mengakui kelemahan akal dalam bidang tersebut.

 Bidang yang tidak dapat diterokai oleh akal masih mampu dijangkau oleh hati. Hati yang suci bersih mengeluarkan cahayanya yang dinamakan Nur Kalbu. Nur Kalbu menerangi akal dan bersuluhkan cahaya Nur Kalbu ini, akal dapat menyambung kembali perjalanannya dari ‘stesen’ ia telah berhenti. Perjalanan akal yang diterangi oleh cahaya Nur Kalbu mampu menyingkap perkara-perkara yang ghaib dan beriman dengannya walaupun akal manusia umum menafikannya.

Terdapat perbezaan yang besar antara akal biasa dengan akal yang diterangi oleh nur. Akal biasa beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan dalil-dalil yang nyata dan logik. Akal yang beserta nur mampu menyelami di bawah atau di sebalik yang nyata iaitu perkara ghaib, dan beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan pengalaman tentang perkara-perkara ghaib. Walaupun perkara ghaib itu tidak dapat diterima oleh akal biasa, tetapi akal yang bersuluhkan nur tidak sedikit pun ragu-ragu terhadapnya. Pengetahuan yang terhasil dari cetusan atau tindakan nur ini dinamakan ilmu hakikat, ilmu ghaib, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Walau apa pun istilah yang digunakan, ia adalah pengetahuan tentang ketuhanan yang didapati dengan cara mengalami sendiri tentang hal-hal ketuhanan, bukan menurut perkataan orang lain, dan juga bukan menurut sangkaannya sendiri. Hatilah yang mengalami hal-hal tersebut dan pengalaman ini dinamakan pengalaman rasa, zauk atau hakikat. Apa yang dialami oleh hati tidak dapat dilukiskan atau dibahasakan. Lukisan dan bahasa hanya sekadar menggerakkan pemahaman sedangkan hal yang sebenar jauh berbeza. Jika hal pengalaman hati dipegang pada lukisan dan bahasa ibarat, maka seseorang itu akan menjadi keliru. Jika lukisan dan simbol diiktikadkan sebagai hal ketuhanan maka yang demikian adalah kufur!

Pemegang ilmu ghaib terdiri daripada dua golongan. Golongan pertama adalah orang yang terlebih dahulu memasuki bidang pembelajaran tentang tauhid dan latihan penyucian hati menurut tarekat tasauf. Pembelajaran dan latihan yang mereka lakukan tidak membuka bidang hakikat. Ini membuat mereka mengerti akan nilai dan kedudukan ilmu ghaib yang sukar diperolehi itu. Mereka hanya dapat belajar, melatih diri, kemudian menanti dan terus menanti. Jika Allah s.w.t berkenan maka dikurniakan sinaran nur yang menerangi hati si murid itu. Si murid itu pun mengalami dan berpengetahuan tentang hakikat. Pengetahuan yang diperolehi itu sangat berharga baginya dan dijaganya benar-benar, tidak dibukakannya kepada orang lain kerana dia tahu yang orang ramai sukar memahami perkara yang telah dialaminya itu.

Pemegang ilmu ghaib golongan kedua tidak pula melalui proses pembelajaran dan latihan seperti golongan pertama. Golongan ini tiba-tiba sahaja dibukakan hakikat kepada mereka (hanya Allah s.w.t mengetahui mengapa Dia berbuat demikian). Oleh sebab mereka memperolehinya dengan mudah dan tanpa asas pengetahuan yang kuat, mereka tidak mengetahui nilai sebenar pengetahuan yang mereka perolehi itu. Mereka menyangkanya sebagai ilmu biasa. Lantaran mereka memahaminya mereka menyangka orang lain juga memahaminya. Sebab itu mereka mudah memperkatakan ilmu tersebut di hadapan orang ramai. Oleh sebab ilmu ini tidak dapat diceritakan kecuali dengan ibarat, satu daripada dua kemungkinan akan berlaku. Pertama, lantaran orang ramai melihat latar belakang orang hakikat tadi tidak mempunyai asas agama yang kuat, bukan orang alim, maka mereka menganggapnya pembohong dan pembawa cerita khayal. Kedua, kemungkinan ada orang yang mempercayainya tetapi kepercayaan itu tertuju kepada ibarat bukan kepada yang diibaratkan. Kedua-dua kemungkinan tersebut adalah tidak sihat. Sebab itu dilarang keras memperkatakan tentang ilmu hakikat kepada bukan ahlinya. Orang yang membeberkannya dengan mudah disebut orang jahil yang tidak tahu nilai berlian yang ada padanya. 
 



H81: AKHIRAT TEMPAT PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA YANG MUKMIN

 
H81: AKHIRAT TEMPAT PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA YANG MUKMIN

 

SESUNGGUHNYA DIJADIKAN NEGERI AKHIRAT SEBAGAI TEMPAT PEMBALASAN BAGI HAMBA-HAMBA-NYA YANG BERIMAN KERANA NEGERI INI (DUNIA) TIDAK CUKUP LUAS (BAGI MENAMPUNG) APA YANG ALLAH S.W.T HENDAK BERIKAN KEPADA MEREKA. BAHAWASANYA DIGANDAKAN SEGALA KADAR (PEMBALASAN) MEREKA, JAUH DARI PEMBALASAN TERHADAP MEREKA YANG DI DALAM NEGERI YANG TIDAK KEKAL INI.

Dunia dan manusia ditentukan dengan ajal. Ajal bagi manusia adalah maut, dan ajal bagi dunia adalah kiamat. Umat manusia yang terdahulu hidup sehingga melebihi seribu tahun. Umat Nabi Muhammad s.a.w hidup sekitar enam puluh tahun sahaja. Apabila maut datang berakhirlah kehidupannya di dunia. Apa sahaja yang dimilikinya berpisah daripadanya. Jasadnya dihantar ke dalam tanah, dan hartanya kepada waris-warisnya. Kemuliaan, kekuasaan, kesayangan, kebencian, kehinaan dan segala-galanya ditinggalkannya. Keluarlah roh dari dunia dan ditunggunya pula ketibaan ajal dunia. Berapa juta tahun dunia boleh hidup tiada sesiapa mengetahuinya melainkan Allah s.w.t, yang pasti dunia juga pasti ‘mati’ satu ketika nanti. Masa kematiannya mungkin sudah hampir. Nabi akhir zaman sudah diutuskan lebih seribu empat ratus tahun yang lalu. Nikmat Allah s.w.t telah disempurnakan. Agama Allah telah diperlengkapkan. Apa sahaja yang harus diberikan kepada dunia telah diberikan. Tidak ada lagi yang tinggal. Jika dunia diistilahkan sebagai bernafas, maka semua nafasnya telah pun digunakannya, hanya tinggal nafas yang di dalam simpanan yang digunakan sekarang.

 
Demi masa (waktu asar)! ( Ayat 1 : Surah al-‘Asr )

Waktu telah asar. Matahari telah condong ke barat, hanya beberapa ketika sahaja lagi ia akan terbenam. Sebentar lagi cahaya alam akan dicabut dan tinggallah dunia dalam kegelapan. Muazzin menyambut ketibaan waktu asar dengan memberikan peringatan kepada manusia:

Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian - kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. ( Ayat 1 – 3 : Surah al-‘Asr )

 Dunia mengasingkan manusia kepada dua golongan. Pertama adalah yang beriman dan beramal salih serta mengajak kepada kebenaran dan kesabaran. Kedua adalah yang kufur dan menolak kebenaran. Dunia menjadi penjara kepada yang beriman dan menjadi syurga kepada yang kufur. Rasulullah s.a.w bersabda:

 
Dunia ini penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.

 Syurga adalah kelazatan dan kesenangan yang menjadi balasan kepada perbuatan baik. Orang kafir yang berbuat kebaikan menerima balasan kebaikan ketika mereka masih di dunia. Allah s.w.t memberi balasan lebih banyak dari kebaikan yang hamba-Nya lakukan agar mereka tidak boleh merungut tentang balasan yang mereka terima. Dunia ini tidak ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w  mengatakan bahawa dunia ini pada sisi Allah s.w.t nilainya tidak melebihi sebelah sayap nyamuk. Andainya dunia ini ada harga bagi Allah s.w.t nescaya tidak diizinkan orang kafir merasa walau seteguk air. Oleh sebab dunia ini tidak berharga maka ia dihamburkan kepada orang-orang kafir seluas-luasnya supaya mereka berasa puas menerima imbuhan bagi penat lelah dan usaha mereka, dan tidak ada lagi tanggungan balasan yang tinggal buat mereka apabila mereka meninggalkan dunia ini. Di akhirat kelak mereka tidak boleh lagi membuat tuntutan terhadap kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia. Segala hutang telah dibayar oleh Allah s.w.t ketika mereka masih hidup.

 Orang yang tidak beriman berbuat kebaikan dengan menggunakan keupayaan jasmaninya, sementara orang yang beriman menggunakan keupayaan rohaninya. Kebaikan yang lahir dari keupayaan jasmani hanya mampu disebarkan kepada ruang yang sempit, oleh sebab itu ruang yang sempit juga diperlukan untuk diisi balasan untuknya. Ruang yang ada di alam dunia ini sudah cukup luas untuk diisikan dengan pembalasan terhadap kebaikan-kebaikan jasmani. Rohani pula mampu merentasi daerah yang lebih luas. Semakin kuat rohani seseorang semakin luas daerah yang boleh diterokainya. Manusia yang memiliki rohani yang paling kuat adalah Nabi Muhammad s.a.w dan keupayaan rohani baginda s.a.w diceritakan oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )

Keupayaan rohani Rasulullah s.a.w mampu meliputi seluruh alam, menabur rahmat kepada semua zaman, semua ruang serta sekalian isi alam. Tidak ada satu juzuk pun dari alam yang tidak berteduh di bawah payung rahmat rohani Rasulullah s.a.w. Berbeza daripada keupayaan jasmani baginda s.a.w yang hanya berdakwah selama lebih kurang dua puluh dua tahun sahaja. Begitulah besarnya perbezaan antara keupayaan rohani dengan keupayaan jasmani. Oleh itu nilai kebaikan yang dilakukan masing-masing juga berbeza. Oleh sebab besarnya kebaikan yang bersangkutan dengan rohani maka ruang yang diperlukan untuk mengisi balasan baginya juga besar. Ruang yang ada di alam dunia ini tidak cukup luas untuk diisikan dengan balasan tersebut, lebih-lebih lagi balasan untuk kebaikan digandakan oleh Allah Yang Maha Pemurah.

 Dunia ini selain ruangnya sempit ia juga hina di sisi Allah s.w.t, sedangkan balasan kebaikan untuk orang yang beriman sangat mulia dan tinggi nilainya. Jika balasan yang mulia itu diisi ke dalam bekas yang kotor, maka kekotoran bekas itu akan bercampur dengan kemuliaan balasan itu yang menyebabkan kecacatan pada balasan tersebut. Untuk mengelakkan sesuatu yang baik lagi mulia daripada terjejas, disediakan Allah s.w.t kepada orang yang beriman tempat yang mulia, dan orang Mukmin itu akan dijemput dengan penuh kemuliaan untuk mendapatkan bahagiannya yang mulia di tempat yang mulia. Apa yang akan diperolehinya nanti akan kekal bersama-samanya, tidak seperti balasan dunia yang bersifat sementara. 
 



H82: TANDA DITERIMA AMAL

 
H82: TANDA DITERIMA AMAL

 

BARANGSIAPA YANG DAPAT MERASA BUAH DARI AMALNYA SEKARANG (DI DUNIA) IA MENJADI BUKTI DITERIMA AMALNYA KELAK (DI AKHIRAT)

Buah dari amal adalah kesan yang lahir dari amal kebaikan yang dilakukan. Kesan itu menjadi tanda menunjukkan sama ada amal seseorang itu diterima oleh Allah s.w.t atau tidak. Banyak ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang menceritakan tentang tanda-tanda yang boleh dibuat ukuran tentang amal yang dilakukan. Misalnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Barangsiapa tidak dicegah oleh sembahyangnya dari melakukan perbuatan keji dan munkar, maka dia tidak bertambah dekat dengan Allah s.w.t, bahkan bertambah jauh.

 Sembahyang yang diterima oleh Allah s.w.t adalah sembahyang yang mendekatkan orang yang melakukannya kepada Allah s.w.t dan tandanya adalah orang itu dilindungi dari terjerumus melakukan perbuatan keji dan munkar. Andaikata mata hati dapat melihat nescaya akan kelihatan sembahyang dan  amal kebaikan yang lain, mengeluarkan nur-nur yang menjadi tentera melindungi orang yang berbuat sembahyang dan kebaikan itu daripada percubaan tentera musuh menjatuhkannya ke dalam lembah kekejian dan kemunkaran. Orang tersebut kadang-kadang terlintas juga dihatinya untuk melakukan maksiat, tetapi nur-nur yang menjadi tentera amal kebaikan bertindak menghindarkannya daripada melakukan maksiat yang ingin dilakukannya itu, hinggakan dia sendiri hairan bagaimana dia boleh terselamat padahal dia sudah berada di hadapan pintu maksiat. Tentera nur tersebut bukan setakat mengawal kejahatan daripada menghampiri tuannya bahkan ia juga sering menarik tuannya kepada kebaikan hinggakan orang itu selalu berpeluang berbuat kebaikan tanpa dirancang dan dia selalu berasa hairan bagaimana bila ada sahaja kerja kebaikan maka tiba-tiba dia ikut serta melakukannya sedangkan tiada sesiapa menjemputnya untuk melakukan pekerjaan itu. Inilah yang dinamakan buah daripada amal kebaikan. Jika dia ikhlas menjaga amal kebaikannya, maka tentera nur yang lahir dari amal itu akan ikhlas pula melindunginya, bukan sahaja ketika di atas muka bumi ini, malah tentera nur itu akan menemaninya di dalam kubur, memberi cahaya dan menghilangkan kesunyiannya.

 Orang yang tidak mendapat buah dari amalnya sering ditarik ke arah yang berlawanan. Dia mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat walaupun dia sudah berusaha berungguh-sungguh untuk menjauhkannya. Dia berasa berat untuk beribadat walaupun dia sudah mencuba untuk khusyuk. Walaupun banyak amal kebaikan yang dilakukannya tetapi jika amal itu tidak ikhlas, iaitu tidak ada nyawanya maka dia tidak dapat menghidupkan tentera nur dari amal tersebut, yang boleh menjaganya daripada kebinasaan.

 Oleh sebab amal kebaikan orang Mukmin tidak dibalas sepenuhnya semasa dia hidup di dunia ini maka Allah s.w.t menggantikannya dengan sejenis rasa kelazatan dan kepuasan mengiringi amalnya sehingga dia tidak berasa bosan dan tidak berasa rugi kerana beramal. Amal yang salih ditempatkan di Iliyyin yang berhampiran dengan syurga. Walaupun orang Mukmin masih hidup di dunia, amalnya telah pun diangkat ke Iliyyin dan amal itu sudah dapat mencium bau syurga. Keharuman bau syurga itu disalurkan kepada tuannya yang berada di dunia. Oleh sebab itu orang Mukmin sudah dapat mengecap bau syurga sebelum memasukinya dan ketika mereka masih hidup di dunia. Keharuman dan kelazatan imbasan syurga dirasai ketika mereka beramal, terutamanya ketika bersembahyang. Suasana sembahyang mereka seolah-olah mereka berada di dalam syurga, sebab itulah mereka tidak mendengar desiran angin dan tidak sakit ditikam dengan tombak, kerana kelalaian dan kesakitan tidak ada di dalam syurga. Allah s.w.t berfirman:

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Ayat 62 – 64 : Surah Yunus)


H83: KEDUDUKAN HAMBA DI SISI ALLAH S.W.T

 
H83: KEDUDUKAN HAMBA DI SISI ALLAH S.W.T

 

JIKA KAMU MAHU MENGETAHUI KEDUDUKAN KAMU DI SISI ALLAH S.W.T, LIHATLAH DI MANA KAMU DIDUDUKKAN.

Perkara biasa sekiranya seseorang itu diganggu oleh keinginan mahu mengetahui kedudukannya. Keinginan yang baik tidak lahir dari perasaan mahu menunjuk-nunjuk atau mahu bermegah-megah dengan pencapaiannya. Sebenarnya dia memerlukan pendorong bagi mendapat keyakinan yang teguh. Keinginan yang bertujuan meneguhkan keyakinan tidak dianggap tercela. Nabi Ibrahim a.s pernah memohon kepada Allah s.w.t agar diperlihatkan kepadanya bagaimanakah mereka yang telah hancur menjadi tanah dibangkitkan semula, bagi menambah dan memperteguhkan keyakinan beliau a.s. Wali-wali Allah dikurniakan kekeramatan sebagai menyokong dan memperkuatkan keyakinan mereka. Orang yang masih di dalam perjalanan juga memerlukan penyokong bagi memperbaharui semangat juang dan memperkukuhkan keyakinannya. Salah satu caranya adalah melihat kepada kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menetapkan beberapa darjat dan memperlihatkan tanda-tanda bagi darjat masing-masing. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
“Jika Allah s.w.t kasih kepada seseorang hamba maka diuji-Nya dengan bala, jika dia sabar dipilih-Nya dan jika dia reda diistimewakan-Nya”. ( Maksud Hadis )

 Lihatlah kepada diri kita. Jika kita dikenakan bala itu tandanya kita berada di dalam golongan hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Hamba yang dikasihi adalah hamba yang sabar dan reda. Jika tidak ada sabar dan reda itu tandanya kita terkeluar daripada kedudukan hamba yang dikasihi, bala yang dikenakan kepada kita merupakan hukuman terhadap dosa yang kita lakukan. Hamba yang sabar ketika menerima bala adalah hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t, kerana hanya yang dipilih oleh-Nya sahaja yang diperteguhkan dengan kesabaran, manakala hamba yang dijauhkan dibiarkan hanyut di dalam keperitan bala. Jika hamba itu naik pula dari sabar kepada reda, itu menunjukkan dia diistimewakan kerana hanya hamba yang istimewa sahaja yang dikurniakan reda, sebab reda mencairkan kesakitan dan keperitan bala lalu menukarkannya menjadi nikmat.

Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; ( Ayat 2 : Surah al-Anfaal ) 
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. ( Ayat 15 – 16 : Surah as-Sajdah )

 Allah s.w.t menerangkan dengan jelas tentang keadaan hamba-hamba-Nya yang berada dalam makam Mukmin. Lihatlah kepada diri kita dan jawablah sendiri adakah tanda-tanda Mukmin itu ada pada kita atau tidak ada. Jika tidak ada, perbanyakkan sembahyang malam dan bersedekah.

 Rasulullah s.a.w bersabda:

Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah s.w.t hendaklah ia melihat (dalam hatinya) bagaimana keadaan Allah s.w.t pada sisinya, kerana Allah s.w.t mendudukkan hamba-Nya menurut ukuran si hamba itu mendudukkan Allah s.w.t pada dirinya. ( Maksud Hadis)

Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi:

Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku, maka hendaklah dia menyangka dengan apa yang dia kehendaki.

 Perkara pokok dalam memahami kedudukan kita di sisi Allah s.w.t adalah dengan melihat bagaimana keadaan hati kita terhadap Allah s.w.t. Jika hati kita lalai dari mengingati Allah s.w.t maka kedudukan kita adalah hamba yang lalai. Jika hati kita kuat bergantung kepada amal maka kedudukan kita adalah ragu-ragu dengan jaminan Allah s.w.t. Jika hati kita kuat bertajrid itu tandanya kita didudukkan hampir dengan-Nya. Jika kita sabar menghadapi ujian bala itu tandanya kita didudukkan dalam golongan pilihan. Jika kita reda dengan apa juga takdir Allah s.w.t itu tandanya kita didudukkan dalam kumpulan yang diistimewakan. Jika kita merasakan diri kita kosong dari segala sesuatu, yang ada hanya Allah s.w.t, itu tandanya kita berada di dalam makam makrifat. Jika kita berasa senang dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w itu tandanya kita orang Islam. Jika gementar hati kita bila mendengar peringatan kepada Allah s.w.t dan mendengar ayat-ayat-Nya dibacakan itu tandanya kita seorang Mukmin. Jika sifat benar sebati dengan kita dalam segala keadaan itu tandanya kita seorang muhsinin. Jika kita menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat, bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya itu tandanya kita seorang muttaqin. Jika kita berasa akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika itu tandanya kita seorang muqarrabin. Jika kita merasakan wujud diri kita lebur di dalam Wujud Mutlak itu tandanya kita seorang ariffin. Jika kita gemar menangis dalam mengingati Allah s.w.t di samping melihat bala dan nikmat, senang dan susah, sihat dan sakit, penolakan dan penerimaan dan segala perkara yang bertentangan tidak lagi berbeza pada penglihatan mata hati kita itu tandanya kita dikuasai oleh Cinta Allah s.w.t. Jika apa sahaja yang kita hadapi memperlihatkan Wujud Allah s.w.t itu tandanya kita baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Lihatlah di mana kita didudukkan, di situlah kedudukan kita di sisi Allah s.w.t. 
 



H84: NIKMAT LAHIR DAN BATIN

 
H84: NIKMAT LAHIR DAN BATIN

APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU REZEKI BERUPA RASA PUAS DENGAN TAAT (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN RASA CUKUP (DENGAN-NYA), MAKA KETAHUILAH TELAH DISEMPURNAKAN ATAS KAMU NIKMAT-NIKMAT YANG LAHIR DAN YANG BATIN.

Dua jenis rezeki yang dinyatakan oleh Hikmat 84 di atas adalah Islam dan Iman. Hamba Allah s.w.t yang memperolehi kedua-dua rezeki tersebut menjadi insan yang beriman dan beramal salih. Tidak ada amal salih tanpa iman dan tidak ada kenyataan iman tanpa amal salih. Ayat-ayat al-Quran sering menggandingkan iman dan amal salih sebagai satu, tidak diceraikan. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak beramal menurut apa yang diimaninya adalah dianggap sebagai orang yang berbohong, sementara orang yang melakukan amal sedangkan hatinya tidak beriman adalah munafik. Kesempurnaan seorang insan terletak pada gandingan kedua-duanya, iaitu iman dan amal salih.

 Islam bererti tunduk patuh kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Orang Islam adalah orang yang bertaklid melulu kepada Allah s.w.t. Segala fikiran dan kehendak menjurus sepenuhnya kepada apa yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t, yang dibawa oleh Rasul-Nya. Akal, perasaan dan perbuatan tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Ketaatan kepada Allah s.w.t mencakupi lahir dan batin. Perbuatan lahir sesuai dengan tuntutan syariat dan perbuatan batin pula mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah s.w.t. Memelihara sempadan yang ditentukan oleh Allah s.w.t secara lahir dan batin menghasilkan takwa. Semulia-mulia hamba di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertakwa. Takwa tidak diperolehi tanpa amalan Islam. Islam sudah cukup lengkap. Segala perintah yang meliputi suruhan dan tegahan sudah pun dibentangkan di hadapan mata. Tidak usah menunggu perintah yang lain lagi.

 Jika Islam melahirkan amal salih, iman pula melahirkan penyaksian mata hati (musyahadah) terhadap ketuhanan Allah s.w.t pada setiap pandangan kepada segala perkara. Allah s.w.t berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya… (Ayat 136 : Surah an-Nisaa’)

 Ayat di atas ditujukan kepada orang yang sudah beriman. Mereka sudah pun beriman tetapi masih digesa supaya beriman. Iman pada tahap permulaan berdasarkan dalil-dalil dan pembuktian. Kemudian mereka diajak pula kepada iman dengan penyaksian mata hati, menyaksikan Rububiyah yang tidak pernah berpisah daripada ubudiyah. Tanpa penyaksian terhadap Rububiyah segala amal tidak berguna kerana orang yang beramal menisbahkan amal itu kepada dirinya sendiri, sedangkan tiada yang melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah s.w.t, dengan Kudrat dan Iradat-Nya, dengan Haula dan Kuwwata-Nya. Himpunan amal sebesar gunung tidak dapat menandingi iman yang sebesar zarah. Orang yang beriman dan menyaksikan Rububiyah pada segala perkara dan semua amal itulah orang yang memperolehi nikmat yang sempurna lahir dan batin, kerana hubungannya dengan Allah s.w.t tidak pernah putus. Orang inilah yang berasa puas dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t dan berasa cukup dengan-Nya, kerana tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t dan tidak berlaku sesuatu perkara melainkan menurut ketentuan-Nya. Apa lagi yang patut dibuat oleh seorang hamba melainkan taat kepada-Nya dan menerima keputusan-Nya. 
 



H85: SEBAIK-BAIK PERMINTAAN

 
H85: SEBAIK-BAIK PERMINTAAN

 

SEBAIK-BAIK PERMINTAAN ADALAH APA YANG ALLAH S.W.T TUNTUT DARIPADA KAMU.

Pada setiap ketika dan setiap keadaan pasti ada tuntutan Allah s.w.t terhadap kita yang kita berkewajipan menyempurnakannya. Pada ketika dan keadaan berkenaan yang paling baik kita pohonkan daripada Allah s.w.t adalah agar kita dapat menyempurnakan kewajipan tersebut. Setiap waktu, ruang, benda-benda serta kejadian yang mengisi waktu dan ruang itu merupakan ujian Allah s.w.t. Apa yang dimaksudkan dengan ujian adalah cabaran terhadap iman (tauhid). Waktu dan ruang serta isinya berperanan mengalihkan pandangan kita daripada tauhid kepada yang mengisi waktu dan ruang tersebut. Waktu dan ruang adalah dua keping besi tajam yang membentuk gunting, kerjanya memotong tali yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t. Apabila tali itu putus, terlepaslah perhatian dari menyaksikan Rububiyah, maka terjadilah syirik. Apa sahaja yang berada di dalam waktu dan ruang yang menutup pandangan mata hati dari menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t, adalah menjadi bahan yang disyirikkan dengan Allah s.w.t.

Anasir alam yang paling banyak mengisi waktu dan ruang adalah sebab musabab, memakai berbagai-bagai topeng, menggunakan berbagai-bagai nama dan menunggang berbagai-bagai jenis kenderaan, iaitu benda, kejadian dan suasana. Sebab musabab menguji iman kita, dan kita dituntut memelihara iman itu. Apabila kita menerima sebab musabab kita hendaklah tidak meletakkan keberkesanan terjadinya sesuatu hukum kepada sebab musabab. Apa juga yang berlaku adalah menurut tadbir Ilahi dan benda-benda alam yang membentuk sistem sebab musabab adalah alat yang mempamerkan hikmat kebijaksanaan peraturan dan perbuatan Allah s.w.t. Jangan dibiarkan sebab musabab memperlihatkan kekuatannya seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut campur dalam urusannya. Kita bertanggungjawab menjaga iman kita agar tidak dihanyutkan oleh arus sebab musabab yang setiap detik singgah kepada kita. Terpelihara iman adalah yang sebaik-baik diminta. Paling utama diminta adalah terpelihara iman ketika dikeluarkan roh dari jasad.

 Dalam perjalanan mempertahankan imannya seseorang itu akan silih berganti berhadapan dengan salah satu daripada empat keadaan: nikmat; bala; taat dan maksiat. Keempat-empat itu adalah alat untuk menguji iman. Dalam menghadapi ujian nikmat pohonlah kepada Allah s.w.t agar kita dapat mengikat nikmat tersebut dengan syukur. Apabila berhadapan dengan ujian bala, merayulah kepada Allah s.w.t agar bala itu dihindarkan atau jika bala itu tidak mahu pergi juga mintalah agar Dia menguatkan kita dengan kesabaran dan seterusnya mintalah agar Allah s.w.t mententeramkan hati kita dengan reda. Apabila kita diberi kesempatan berbuat taat, ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah s.w.t, kerana kasihan belas dan rahmat-Nya kepada kita, bukan ketaatan terjadi kerana kebolehan dan keupayaan kita. Jangan melihat amal sebagai hasil usaha kita tetapi hendaklah ia dilihat sebagai pemberian Allah s.w.t yang wajib disyukuri dan seharusnya kita merendah diri kepada-Nya. Apabila terjerumus melakukan maksiat pula, ketahuilah bahawa jika kita tidak peduli ke lembah kehancuran mana yang kita jatuh, maka Allah s.w.t juga tidak peduli di jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita menanggung azab seksa. Jika tidak mahu dibinasakan oleh Allah s.w.t dan diseksa dengan azab yang pedih, larilah kepada Allah s.w.t dengan meninggalkan lembah maksiat, bertaubatlah dengan sepenuh hati, sebenar-benar taubat.

Dalam mengajukan permintaan kepada Allah s.w.t yang perlu dilihat adalah diri sendiri, bukan apa yang diingini. Penting bagi seseorang mengenali dirinya dan menghisab dirinya. Cari di mana cacat dan kekurangan yang ada pada kita. Apa yang kurang minta Allah s.w.t percukupkan dan apa yang cacat minta Dia perelokkan. Apa sahaja yang datang adalah perutusan dari Allah s.w.t yang perlu kita renungi. Pohonlah bantuan Allah s.w.t agar disingkapkan rahsia yang menyelubungi perutusan yang datang itu agar kita tidak tertipu oleh muslihatnya. Ingatlah semasa masih ada hayat, nafas masih boleh disedut, tidak lain yang patut dituntut melainkan tauhid! Berdoalah bersungguh-sungguh agar hidup kita diterangi oleh tauhid dan mati kita jua dalam keteguhan tauhid!